|
Gambar 1. Jalan Wira Negara Kpl Azrol [Semua gambar boleh diklik untuk pembesaran imej] |
Wira:
Hero / pahlawan / jaguh / perwira / pendekar / kesateria / wirawan / bahadur / jago
[Sumber: Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)]
Pagi itu saya berhasrat untuk ke Sijangkang bagi mengambil adaptor laptop yang telah ditempah beberapa hari sebelumnya dari sebuah kedai komputer. Sebelum memulakan perjalanan kayuhan, saya sempat menonton siaran Malaysia Hari Ini (MHI) di TV3. Ia menyiarkan video tentang wira-wira negara yang telah gugur mempertahankan kedaulatan negara di Lahad Datu, Sabah. Ketika tayangan sepintas lalu itu, saya terperasan satu imej papantanda seperti gambar di atas yang membuatkan saya merasa teruja untuk mencarinya sendiri.
|
Gambar 2. Pejuang-pejuang negara yang telah terkorban. Gambar ihsan TV3. |
|
Gambar 3. Info ringkas arwah Kopral Mohd Azrul. Gambar ihsan TV3 |
Setelah selesai berurusan di kedai komputer, saya singgah di rumah sebuah rakan dan meminta beliau mencari info tentang lokasi papantanda yang dipaparkan dalam televisyen pagi tadi. Dari pencariannya di laman sesawang, rumah keluarga arwah Kopral Mohd Azrul dikhabarkan terletak di Rantau Panjang, Kelang. Info lain pula, memberitahu ianya terletak di Teluk Kapas, Kelang.
Tanpa membuang masa, saya bersendirian berkayuh menuju ke arah Rantau Panjang. Sebuah jalan yang dilalui oleh banyak lori-lori treler kontena saya lalui. Kadang-kadang, timbul rasa risau dengan kenderaan-kenderaan besar dan panjang ini. Anginnya sahaja cukup untuk membuatkan kita seolah melayang-layang apabila ia melalui sisi basikal. Itu belum lagi bila mendengar deruan enjin dan bunyi hon udaranya (airhon) ...
Saya melepasi kawasan Rantau Panjang dan melajakkan kayuhan menuju ke kawasan Teluk Kapas. Ternampak sebuah jalan yang dinamakan Jalan Rahmad (jika tidak salah saya), dengan papantanda yang agak uzur dan cuma diikatkan pada sebuah tiang elektrik di persimpangan masuk. Terdapat satu kain rentang yang mempunyai mesej takziah buat Allahyarham. Dari rasa hati, saya menganggarkan yang itulah jalan masuk ke rumah keluarga arwah. Saya meneruskan kayuhan melepasi jalan itu bagi mencari kemungkinan yang lain pula. Apabila merasakan tiada lagi kemungkinan, saya berpatah semula ke memasuki jalan itu.
|
Gambar 4. Belok ke kiri untuk memasuki Jalan Rahmad off Jalan Teluk Kapas |
|
Gambar 5. Kain rentang ucapan takziah dari penduduk setempat |
Jalan yang saya masuki itu, kelihatan baru sahaja diturap dan terdapat deretan bendera satu parti politik dipasang di kiri kanan jalan. Kayuhan saya terhenti di sebuah simpang yang terdapat sebuah jambatan kayu baru dibina. Disitulah terdapatnya papantanda bertulis Jalan Wira Negara Kopral Azrol itu (rujuk gambar paling atas). Saya mengambil masa memotret beberapa keping gambar dari pelbagai sudut sebelum berhasrat untuk memasuki lebih dalam bagi mencari rumah keluarga arwah Kopral Azrul. Pencarian saya terhenti di sebuah rumah yang dihadapannya dipasangkan beberapa bendera sebuah parti politik. Pada anggaran saya bila melihatkan turapan yang berakhir di perkarangan rumah itu beserta bendera-bendera yang dipasang, saya yakin pasti itulah rumah keluarga arwah Kopral Azrul.
|
Gambar 6. Jambatan kayu dan turapan jalan yang baru dibuat menghala ke rumah keluarga arwah Kopral Azrul. |
Saya cuma berlegar-legar dan melihat rumah itu dari jarak jauh. Tidak tergamak rasanya untuk saya merakamkan gambar rumahnya, apatahlagi untuk menganggu privasi mereka di dalam keadaan ahli keluarga sedang berdukacita atas pemergian ahli keluarga tercinta. Cukup sekadar bacaan Al Fatihah saya sedekahkan buat Allahyarham, moga tenanglah beliau di sana menemui Sang Penciptanya ...
Saya meninggalkan kawasan Jalan Rahmad dan memasuki semula jalan yang sibuk dilalui oleh lori treler, bermuatan mahupun kosong. Ternampak gerai menjual air tebu, saya kemudiannya berhenti untuk membasahkan tekak dalam keadaan cuaca yang cukup panas dan kering ini. Terasa puas apabila dapat menikmati air tebu, sekaligus dapat menemui lokasi yang diingini tanpa perlu bertanyakan pada sesiapa di jalanan.
Nota:
Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada individu yang sudi klik pada ruangan iklan di sebelah tepi artikel ini. Terima kasih ( :