* Translation *

26 November 2012

Sauh


[Klik untuk pembesaran imej]


Sauh 
Alat yang berkait dan berat, yang dilabuhkan ke dalam air supaya perahu, kapal dan lain-lain tidak hanyut. Bersinonim dengan jangkar atau anjar. [Rujukan: DBP] 

Puisi Melayu:

Datuk Kelana pergi menangguk,
Tersangkut tangguk di sauh kapal;
Saya umpama orang mengantuk,
Apatah lagi disorong bantal.

Info gambar:
Replika sauh yang terdapat berhampiran bangunan Kelab Pelayaran Batu Laut, Banting, Selangor. Foto diambil ketika melakukan kayuhan duo ke Bagan Lalang pada 10hb Jun 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

20 November 2012

Pantai Saujana



[Klik untuk pembesaran imej]


Port Dickson yang terletak di Negeri Sembilan, merupakan salah satu lokasi peranginan terkenal di pantai barat semenanjung Malaysia.

Selain Port Dickson yang dikenali dengan singkatan panggilan sebagai PD, pantai yang turut terkenal di barat semenanjung iaitu Telok Kemang yang juga terletak di Negeri Sembilan; Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan Pantai Puteri di Melaka, Teluk Batik dan Teluk Senangin di Perak selain Batu Feringgi dan Teluk Bahang yang terletak di Pulau Pinang.

Pantai Batu 4 Port Dickson atau kini dinamai sebagai Pantai Saujana, menjadi pilihan saya untuk berkhemah setiap kali berkembara basikal menuju ke selatan tanahair atau sebaliknya. Selain lokasi yang mempunyai pemandangan menarik, kemudahan seperti tapak perkhemahan yang tidak dikenakan bayaran, berhampiran tandas awam dan bilik mandi, surau dan tandas yang terdapat di stesyen minyak berhampiran, juga terletak dekat dengan lokasi pasar malam dan kedai makan.

Info gambar:
Panorama matahari terbenam di pantai Batu 4 Port Dickson, ketika saya berbasikal kembara solo dari Melaka ke Shah Alam pada 25hb Jun 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

12 November 2012

Bot penambang



[Klik untuk pembesaran imej]


Pada anggaran saya, ia mungkin berasal dari gabungan perkataan bot penumpang yang dikenakan tambang. Ooppss, maaf andainya saya hentam keromo akan maksud sebenarnya. Bot penambang adalah salah satu sistem pengangkutan air pada jarak dekat, biasanya untuk menghubungkan lokasi yang dipisahkan oleh sungai ataupun laut.

Antaranya ciri-ciri yang menjadikan bot penambang unik antara satu sama lain ialah dari segi lokasi ianya beroperasi, kelebaran sungai atau laut yang dilalui, jenis bot; saiz besar atau kecil; didayung atau ditenagakan oleh enjin, membawa penumpang semata-mata ataupun berkemampuan membawa kenderaan lain seperti motorsikal dan basikal, berbumbung atau jenis terdedah; harga tambang, khidmat pengurusan samada secara persendirian ataupun syarikat, dan waktu beroperasi samada mempunyai waktu tetap ataupun jenis masa bebas.

Tempat bagi bot penambang berlabuh membawa penumpang naik turun dipanggil sebagai jeti. Terdapat dua jenis cara pembayaran, samada membayar secara terus kepada operator atau pengendali selepas menggunakan khidmat bot atau terdapat juga lokasi di mana terdapat pengurusan yang akan mengeluarkan tiket dan tambang perlu dibayar sebelum menaikinya.

Info gambar:
Khidmat bot penambang bagi membawa penduduk sekitar Kampung Bukit Pelandok, Negeri Sembilan dan Sungai Pelek, Selangor bagi melintasi Sungai Sepang Besar tanpa perlu melalui jalan darat yang jaraknya lebih jauh. Gambar diambil ketika berkembara basikal secara duo pada 18hb Julai 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

05 November 2012

Beca



[Klik untuk pembesaran imej]

Beca, merupakan basikal yang diubahsuai bagi maksud membawa penumpang. Sebelum adanya kemajuan sistem pengangkutan awam seperti hari ini, ia adalah antara pengangkutan darat utama.

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mentakrifkan beca sebagai "sejenis kenderaan beroda tiga untuk seorang atau dua penumpang yang dikayuh oleh seseorang atau kenderaan beroda tiga yang kebanyakannya dikayuh seperti basikal."

Mengikut pemerhatian saya, terdapat dua jenis rekabentuk beca iaitu yang pertama kedudukan penumpangnya berada di sisi tepi pengayuh dan yang kedua kedudukan penumpang berada di hadapan pengayuh.

Angka bilangan pengayuh beca bagi tujuan pengangkutan sudah semakin berkurangan, walaubagaimanapun ianya masih boleh dilihat beroperasi di beberapa lokasi dengan maksud pelancongan, iaitu membawa penumpangnya bersiar-siar mengelilingi kota dengan dikenakan bayaran tertentu mengikut masa.

Bagi menarik perhatian, beca dilengkapi dengan pelbagai aksesori; diantaranya mempunyai hiasan bunga, sistem audio, dilengkapi lampu hiasan dan tidak kurang juga pengayuhnya yang mengenakan pakaian beragam.

Info gambar:
Sebuah beca berhias, menunggu bakal penumpangnya di hadapan bangunan merah yang masyhur di Melaka, Stadhuys. Gambar diambil ketika berkembara basikal solo Melaka – Shah Alam pada 24hb Jun 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :