* Translation *

31 December 2012

Kapal selam


[Klik untuk pembesaran imej]

Ketika memuatnaikkan gambar ini di laman sosial Facebook, saya mendapat banyak komen dari rakan-rakan tentang gambar ini. Ada yang memuji, tidak kurang juga yang mengeji. Sedar ataupun tidak, ternyata kapal selam merupakan isu hangat dan kadang-kadang sensitif bagi warga Malaysia.

Sebelum saya bercerita lebih lanjut tentang kisah di sebalik gambar ini, biarlah kita mengetahui definisi kapal selam. Menurut rujukan dari DBP, kapal selam bermaksud 'kapal yang dapat belayar di bawah permukaan air' atau 'kapal yang boleh bergerak di dalam air (biasanya untuk kegunaan peperangan).

Definisi itulah yang membezakan ianya dengan kapal terbang dan kapal laut. Walaubagaimanapun, ketiga-tiga kapal ini tidaklah sama dengan Kapal Api kerana ianya hanya kenderaan pengangkutan yang boleh dinaiki tetapi tidak boleh diminum. Hehehe, jangan marah ( :

Kisah di sebalik gambar:
 
Isnin, 25hb Jun 2012. Sewaktu ingin pulang dari Melaka ke Port Dickson ketika perjalanan kembara berbasikal solo, saya sempat singgah di Pantai Klebang. Sebuah pantai rekreasi yang kelihatannya seperti telah ditambak (land reclamation). Di satu sudut, jauh dari pantai tempat saya berhenti, ternampak objek besar dalam kawasan berpagar zink biru yang kelihatan seperti sebuah torpedo gergasi

Saya membawa basikal ke sana, dalam laluan berpasir yang jika tidak pandai mengawal tayar hadapan akan tergelincir dan boleh membuatkan kita terjatuh. Tiada seorang pengunjung pun pada ketika itu, mungkin kerana hari itu Isnin dan cuaca baru lepas hujan.

Terdapat sebuah pos pengawal, dengan seorang pemuda berbangsa India menjadi petugasnya. Dari kertas info yang ditampal pada bahagian depan kaunter pos pengawal, yuran kemasukan adalah RM 1 bagi orang dewasa dan RM 0.50 bagi kanak-kanak manakala waktu operasinya pula setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga jam 5.45 petang manakala hari Jumaat 9.00 pagi hingga 12.45 tengahari dan 2.45 hingga 5.45 petang.

Muzium yang kelihatan seperti belum sempurna ini dinamakan Muzium Kapal Selam SMD Quessant, diurustadbirkan oleh Perbadanan Muzium Melaka atau nama ringkasnya PERZIM. Pucuk dicita, ulam mendatang. Tiba-tiba datang idea untuk mengabadikan kenangan melawat ke tempat ini dengan membuat sesi foto menggunakan basikal saya sebagai modelnya. Kebenaran bergambar saya minta dan perolehi dari petugas muzium. Tidak pasti samada orang lain dapat berbuat yang sama jika datang pada hujung minggu. Mungkin saya dibenarkan untuk membawa masuk basikal kerana hari ini tiada langsung pengunjung. 

Selain dari melihat (juga memegang !) kapal selam dari jarak dekat, pengunjung juga boleh melihat ruang pameran yang mempamerkan tentang nota-nota dan foto-foto ketika proses membawa pulang kapal selam ini. Keratan akhbar tempatan mengenai kapal selam ini turut diletakkan untuk tatapan pengunjung. Saya yang mengimpikan untuk masuk sendiri melihat keadaan dalam kapal selam ini, tidak dapat berbuat demikian kerana muzium ini nampaknya masih dalam peringkat pembangunan jika dilihat pada keadaan sekelilingnya.

Puas bergambar dan mengumpul segala info, saya meninggalkan objek besi kaku ini untuk menyambung perjalanan menghala ke Port Dickson dengan satu perkara yang bermain di minda. Untuk menikmati coconut chake Klebang !

Nota:
Gambar-gambar ketika saya melawat Muzium Kapal Selam boleh dilihat di sini. Maaf, hanya untuk individu yang memiliki akaun Facebook sahaja ...


Gambar bonus [Klik untuk pembesaran imej]

24 December 2012

Cerun



[Klik untuk pembesaran imej]

Cerun
Mengikut rujukan dari sumber DBP, perkataan cerun adalah berkaitan tentang tebing yang bermaksud 'hampir tegak', 'curam' atau 'terjal'. Dalam bahasa Inggeris pula, ia beerti 'slope' ataupun 'inclined surface or line'.

Info gambar:
Pemandangan cerun bukit yang terdapat di satu laluan Lebuhraya Simpang Pulai - Gua Musang (A181) lebih kurang satu kilometer dari sempadan Perak - Pahang.

* Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada pembaca yang sudi klik pada iklan dalam artikel ini. Terima kasih ( :

17 December 2012

Kuda kepang


[Klik untuk pembesaran imej]

Kuda kepang
Kuda kepang merupakan satu seni tradisional yang semakin ditelan zaman. Kuda kepang dikenali dengan pelbagai nama seperti jaran kepang, kuda lumping, jathilan dan ebeg. Menurut orang Jawa memberikan makna bagi 'jaran' ialah kuda manakala 'kepang' merujuk kepada anyaman. Bagi masyarakat jawa panggilan bagi kuda kepang yang popular ialah jaran kepang kerana pertunjukan yang dipersembahkan ialah menggunakan anyaman kuda.

Pembuatan kuda kepang adalah dengan menggunakan buluh yang dianyam. Pada awalnya kuda kepang menggunakan pandan yang dianyam tetapi kini ada yang diperbuat daripada papan lapis atau kulit lembu. Ianya biasa berwarna kitam dengan bulu berwarna kuning. Namun pengubahsuaian telah berlaku apabila terdapat juga kuda yang dibalut dengan baldu bagi menampakkan kuda semakin menarik. Kebiasaanya hiasan seperti ini adalah bagi tujuan persembahan diperingkat tinggi.

Mengikut seperti yang dikatakan oleh Soedarsono (1983), kuda kepang mula berkembang sebelum berlakunya perkembangan Islam iaitu pada abad ke XV. Persembahan kuda kepang ini dimainkan dalam upacara pemujaan. Dipercayai, kuda kepang dimainkan adalah bertujuan orang yang masih hidup untuk menjalinkan hubungan dengan roh orang telah mati. Selain itu, mereka percaya kuda kepang dimainkan bertujuan untuk membersihkan desa daripada gangguan roh-roh jahat, penyakit dan malapetaka.

Kuda kepang adalah merupakan sejenis tarian pahlawan berkuda yang berasal daripada Jawa. Telah berlakunya penyebaran kesenian ini meluas serata wilayah di Nusantara. Penyebarannya diteruskan lagi setelah dibawa masuk oleh masyarakat Jawa yang berhijrah ke negara ini dan kekal sehingga sekarang dan masih banyak mengekalkan ciri-ciri keaslian tradisinya. Permainan ini sangat popular khususnya di negeri Johor. Tidak banyak pengubahsuian yang dilakukan walaupun setelah berkurun lama seni kuda kepang ini wujud. Hal ini disebabkan masyarakat Jawa yang begitu kuat mengekalkan seni tradisi mereka dan ini dibuktikan dengan pengekalan seni budaya dan juga tutur bahasa yang digunakan sehari-hari.

Masyarakat Jawa masih tidak lepas daripada kepercayaan unsur ghaib sehinggakan banyak upacara tertentu dilakukan dan salah satu daripadanya ialah persembahan kuda kepang. Dalam kehidupan msyarakat Jawa mereka telah melakukan percampuran antara nilai agama dan juga masih mengekalkan kepercayaan nenek moyang yang kuat.

Daripada beberapa kajian yang telah dibuat, ada pendapat mengatakan tarian kuda kepang ini telah dicipta oleh Wali Sembilan sebagai tarikan dalam usaha mereka menyebarkan syiar Islam di Tanah Jawa. Peristiwa peperangan yang dilalui Rasullullah saw dan para sahabat disampaikan dalam bentuk tarian.

Sumber rujukan:
www.e-genius.com.my
http://ms.wikipedia.org/wiki/Kuda_kepang
http://isyafarisya.wordpress.com/2009/03/05/adunan-mistik-dan-keunikan-kuda-kepang/
Artikel Perubahan Makna Pertunjukan Jaran Kepang Pada Masyarakat Jawa Di Kelurahan Tanjung Sari Medan, Heristina Dewi.

Info gambar:
Lukisan mural kuda kepang yang terdapat pada bahagian belakang  bangunan di tebing Sungai Melaka. Gambar diambil ketika kembara berbasikal solo saya ke Melaka pada 25hb Jun 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

10 December 2012

Rentung


[Klik untuk pembesaran imej]

Rentung
Ia didefinisikan sebagai "terbakar sampai hitam", "terbakar sampai hangus" atau "terbakar hingga jadi abu". Perkataan seerti (sinonim) dengan rentung adalah "hangit", "hangus" ataupun "terbakar". [Rujukan: DBP]

Info gambar:
Sebuah kereta di tepi jalan yang kami temui dalam keadaan rentung, dengan nasib pemandu atau penumpangnya tidak diketahui. Gambar diambil berhampiran persimpangan masuk ke Bukit Ramli, ketika melakukan kayuhan ala S24O secara duo dari Shah Alam ke Bukit Ramli pada 2 dan 3hb Jun 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

03 December 2012

Merpati



[Klik untuk pembesaran imej]

Merpati
Nama sejenis burung; burung dara, nama saintifiknya Columba domestica. [Rujukan: DBP]

Entah mengapa burung merpati (khasnya yang berwarna putih), seringkali dijadikan simbol yang melambangkan keamanan sejagat. Walaubagaimanapun, peribahasa “jinak-jinak merpati” bermaksud “kelihatan mudah didekati tetapi tidak mudah dipikat” agak berlawanan sifat dengan perlambangan merpati yang dianggap simbol keamanan itu.

Bagi pengusaha kedai makan, warung atau restoran; memberi makan kepada burung merpati berhampiran premis perniagaan dianggap sebagai harapan untuk menambah keberkatan dalam aktiviti urusniaga harian mereka.

Puisi Melayu:
Merpati telurnya hijau,
Pecah sebiji di dalam cawan;
Abang pergi ke langit hijau,
Adik menanti di kaki awan.

Info gambar:
Ratusan burung merpati menikmati makanan yang diletakkan oleh wakil peniaga di premis berhampiran. Gambar diambil ketika saya bersiar-siar di laluan tebing Sungai Melaka ketika kembara berbasikal secara solo pada Jun 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

26 November 2012

Sauh


[Klik untuk pembesaran imej]


Sauh 
Alat yang berkait dan berat, yang dilabuhkan ke dalam air supaya perahu, kapal dan lain-lain tidak hanyut. Bersinonim dengan jangkar atau anjar. [Rujukan: DBP] 

Puisi Melayu:

Datuk Kelana pergi menangguk,
Tersangkut tangguk di sauh kapal;
Saya umpama orang mengantuk,
Apatah lagi disorong bantal.

Info gambar:
Replika sauh yang terdapat berhampiran bangunan Kelab Pelayaran Batu Laut, Banting, Selangor. Foto diambil ketika melakukan kayuhan duo ke Bagan Lalang pada 10hb Jun 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

20 November 2012

Pantai Saujana



[Klik untuk pembesaran imej]


Port Dickson yang terletak di Negeri Sembilan, merupakan salah satu lokasi peranginan terkenal di pantai barat semenanjung Malaysia.

Selain Port Dickson yang dikenali dengan singkatan panggilan sebagai PD, pantai yang turut terkenal di barat semenanjung iaitu Telok Kemang yang juga terletak di Negeri Sembilan; Pengkalan Balak, Tanjung Bidara dan Pantai Puteri di Melaka, Teluk Batik dan Teluk Senangin di Perak selain Batu Feringgi dan Teluk Bahang yang terletak di Pulau Pinang.

Pantai Batu 4 Port Dickson atau kini dinamai sebagai Pantai Saujana, menjadi pilihan saya untuk berkhemah setiap kali berkembara basikal menuju ke selatan tanahair atau sebaliknya. Selain lokasi yang mempunyai pemandangan menarik, kemudahan seperti tapak perkhemahan yang tidak dikenakan bayaran, berhampiran tandas awam dan bilik mandi, surau dan tandas yang terdapat di stesyen minyak berhampiran, juga terletak dekat dengan lokasi pasar malam dan kedai makan.

Info gambar:
Panorama matahari terbenam di pantai Batu 4 Port Dickson, ketika saya berbasikal kembara solo dari Melaka ke Shah Alam pada 25hb Jun 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :

12 November 2012

Bot penambang



[Klik untuk pembesaran imej]


Pada anggaran saya, ia mungkin berasal dari gabungan perkataan bot penumpang yang dikenakan tambang. Ooppss, maaf andainya saya hentam keromo akan maksud sebenarnya. Bot penambang adalah salah satu sistem pengangkutan air pada jarak dekat, biasanya untuk menghubungkan lokasi yang dipisahkan oleh sungai ataupun laut.

Antaranya ciri-ciri yang menjadikan bot penambang unik antara satu sama lain ialah dari segi lokasi ianya beroperasi, kelebaran sungai atau laut yang dilalui, jenis bot; saiz besar atau kecil; didayung atau ditenagakan oleh enjin, membawa penumpang semata-mata ataupun berkemampuan membawa kenderaan lain seperti motorsikal dan basikal, berbumbung atau jenis terdedah; harga tambang, khidmat pengurusan samada secara persendirian ataupun syarikat, dan waktu beroperasi samada mempunyai waktu tetap ataupun jenis masa bebas.

Tempat bagi bot penambang berlabuh membawa penumpang naik turun dipanggil sebagai jeti. Terdapat dua jenis cara pembayaran, samada membayar secara terus kepada operator atau pengendali selepas menggunakan khidmat bot atau terdapat juga lokasi di mana terdapat pengurusan yang akan mengeluarkan tiket dan tambang perlu dibayar sebelum menaikinya.

Info gambar:
Khidmat bot penambang bagi membawa penduduk sekitar Kampung Bukit Pelandok, Negeri Sembilan dan Sungai Pelek, Selangor bagi melintasi Sungai Sepang Besar tanpa perlu melalui jalan darat yang jaraknya lebih jauh. Gambar diambil ketika berkembara basikal secara duo pada 18hb Julai 2012 lalu.

* Penghargaan tidak terhingga pada individu yang sudi klik pada iklan dalam laman ini ( :