* Translation *

25 June 2012

Kota Darul Ehsan


[Klik untuk pembesaran imej]

Bermula pada 12hb Jun 2012 lalu, saya telah 'berbasikal - ke - tempat - kerja' (cycling - to - work), sesuatu yang telah menjadi perkara lumrah di negara - negara barat tetapi tidak di Malaysia. Dari jumlah sembilan hari bekerja sampingan (part time), lapan hari telah berjaya dilakukan dengan menaiki basikal yang mana ianya berjumlah jarak 322.66 kilometer dan mengambil masa selama 16 jam 18 minit.

Kota Darul Ehsan menjadi satu tanda aras kepada saya iaitu jika tiba di situ pada jam 1040 pagi, maka saya akan sampai tepat pada jam 1100 pagi di tempat kerja. Lagi cepat saya tiba di gerbang ini, maka saya memperolehi lebih banyak waktu rehat sebelum memulakan tugasan harian.

Menurut Wikipedia, gerbang Kota Darul Ehsan ialah sebuah mercu tanda yang melambangkan sempadan negeri Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, didirikan di atas Lebuhraya Persekutuan.

Pembinaan kota tersebut telah bermula pada 1 Februari 1974 apabila Kuala Lumpur telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan. Sultan Selangor yang ketika itu Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah telah bercadang untuk membina sebuah pintu gerbang sebagai mengenang jasa pengorbanan baginda antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri Selangor. Kota ini telah dibuka secara rasmi pada tahun 1981. 

Reka bentuk gerbang ini menggabungkan pengaruh seni bina gaya Moor. Ini boleh dilihat di kubah di dalam gerbang. Kota Darul Ehsan juga menonjolkan dua laras meriam di setiap muka gerbang. Satu lagi fakta yang kita mungkin terlepas pandang, ianya merupakan gerbang terbesar di Malaysia !

Maklumat gambar:
Gerbang Kota Darul Ehsan Melalui Lebuhraya Persekutuan, seperti dilihat di bahagian Selangor dari 'laluan sikal'.


Azizan Zolkipli.
Shah Alam, Selangor.
5:31 AM, Sabtu, 23hb Jun 2012.
Nota: Artikel ini dimuatnaik secara 'Auto - Update' 

22 June 2012

Kereta lama


[Klik untuk pembesaran imej]

Tarikh: 23hb Mei 2012, Rabu.
Lokasi: Jalan Sultan Alam Shah, Banting, Selangor.

Selepas singgah di sebuah kedai perabot basikal untuk membeli kunci basikal (bicycle lock) dan pam tangan (hand pump) kiriman seorang rakan kayuhan baru dari Putrajaya, pada deretan kedai yang sama kami ternampak sebuah kereta lama model Morris Minor.

Sedang saya berfotografi pada beberapa sudut di bahagian hadapan kereta, tiba-tiba keluar seorang nyonya dari kedai berhampiran kereta ini diletakkan lalu terjadilah dialog yang berikut:

Nyonya: "Hello, apa you bikin ?"
Saya: "Ambik gambar sajelah aunty, ini kereta cantik ooo ... Manyak lama punya ... Lagi boleh jalan kah ?"
Nyonya: "Ini kereta lagi boleh jalan ooo ..."

Lalu nyonya tersebut meninggalkan saya yang sedikit terpinga-pinga, kerana kereta ini seolah sudah lama tidak berganjak dari lokasi tersebut.

OK, kita tutup bab tu dan beralih kepada perkongsian info. Menurut Wikipedia, terdapat beberapa kategori kereta lama yang dikelaskan mengikut umur kereta dan peredaran zaman. Mengikut istilah oleh Classic Car Club of America, pengelasannya ialah kereta klasik yang ditakrifkan sebagai kereta berumur di antara 20 ke 40 tahun,  kereta antik untuk kereta berumur lebih 45 tahun dan kereta vintej (vintage) pula bagi kereta yang dibina bermula tahun 1919 dan berakhir pada tahun 1930, dalam tempoh masa yang digelarkan 'era vintej' (vintage era).

Walaupun begitu, terdapat percanggahan pendapat bagi kereta vintej kerana pihak British berpendapat yang era vintej berakhir pada tahun 1930 manakala pihak Amerika Syarikat lebih memilih tahun 1925.

Susah - susah sangat nak memahami dan mengelaskan kereta antik atau klasik atau vintej. Sebut kereta lama aje sudah ! Senang cerita ( :


Azizan Zolkipli,
Shah Alam,
Khamis, 21hb Jun 2012

09 June 2012

Anak Anak Sidek


[Klik untuk pembesaran imej]

Saya pasti, hampir pasti; ramai yang masih mengingati komik bersiri berjudul Anak - Anak Sidek yang kemudiannya dijadikan siri animasi kartun. Ia merupakan biografi keluarga pemain badminton negara, Dato' Haji Sidek Bin Haji Abdullah Kamar (Allahyarham) dalam membesar dan mendidik anak-anaknya.

Gambar di atas diambil di Tugu Peringatan Keluarga Haji Sidek, berlatarbelakangkan rumahnya. Terletak di Kampung Kanchong Darat, Banting, Selangor; ia dibina bagi mengabadikan kejayaan anak-anaknya di arena badminton.

Mereka ialah Misbun, (nama singkatan: Bun), Razif (Ajib), Jalani (Alan), Abd. Rahman (Aman), Abd. Rashid (Adul) dan Jamaliah. 

Ohh ya, gambar di atas memang bukan Anak - Anak Sidek, mahupun cucu - cucunya. Kanak - kanak tersebut merupakan anak - anak kepada jiran Allahyarham Haji Sidek. Ketika saya bertanyakan kepada seorang kanak - kanak paling tua dalam kumpulan itu tentang siapakah yang menghuni rumah itu buat mana ini. Jawab beliau, "sekarang rumah tu kak Rozita yang duduk ...".


[Klik untuk pembesaran imej]

Papantanda biru, membuktikan segalanya ... Dah nampak uzur papantanda kecil biru itu, andainya hendak ditukar ganti yang baru nanti saya berhasrat untuk menyimpannya ( :


[Gambar bonus: Klik untuk pembesaran imej]


Bonus info:
Jalan masuk ke lokasi tugu ini terletak di koordinat GPS N 2.798416, E 101.491804. Sila rujuk peta buatan saya sendiri di pautan http://goo.gl/maps/t6n3 untuk mengetahui tempat - tempat menarik sekitar Banting. Lokasi tugu ini ditandakan sebagai 'Rumah Dato' Haji Sidek'.

06 June 2012

11,111.1


[Klik untuk pembesaran imej]

Catatan odometer basikal touring saya telah mencapai angka 11,111.1 kilometer sebaik sahaja tiba di Sungai Manggis ketika dalam perjalanan pulang dari Banting ke Shah Alam pada 23hb Mei 2012 lepas.

Seorang rakan kembara dan aktiviti outdoor, encik Azrai (klik sini untuk laman blognya) pernah bertanyakan tentang jumlah jarak kayuhan saya apabila kami bersua di Kayuhan Genting sempena Karnival Hari Belia baru - baru ini. Apabila diberitahu tentang angka ini, ujarnya jarak 13 ribu kilometer adalah bersamaan dengan mengelilingi Eropah !

Izinkan saya mengolah kata pujangga asal dari Lao Tzu yang berbunyi:
"A journey of a thousand miles must begin with a single step ..."


"Perjalanan 11,111.1 kilometer, mesti bermula dengan 1 kilometer yang pertama ..."

Doakan agar saya masih diberi peluang untuk melihat sendiri angka 12,345.6 / 22,222.2 / 33,333.3 dan kilometer seterusnya. Apa pun yang pasti, rakan goblok blogger saya, cik 'Gadis Bunga' pasti suka akan sesuatu yang berkaitan dengan angka - angka. Tak percaya ? Hmmm, pergi tengoklah sendiri blog beliau ... 

04 June 2012

Tajam


[Klik untuk pembesaran imej]

Gambar menunjukkan bahagian chainring tengah pada crankset basikal saya yang telah tajam dan perlu diganti. Apabila ia menjadi tajam, ini boleh mengakibatkan rantai slip apabila basikal dikayuh. Saya yang tidak menyedari perkara ini, terus menukar rantai dengan harapan untuk menyelesaikan masalah tersebut. Rupa - rupanya, rugi RM30 saya tanpa masalah itu selesai. Penyelesaian sementara, hanya boleh berkayuh menggunakan gear paling tinggi laju dan paling kura - kura perlahan sahajalah huhuhu ...

Nota sangat teknikal:
Crankset (di Amerika Syarikat) atau chainset (di UK), adalah komponen pemacu (drivetrain) yang menukarkan gerakan kaki pengayuh basikal ke dalam gerakan putaran yang digunakan untuk memacu rantai (chain), yang seterusnya memusingkan roda belakang. Ia terdiri daripada satu atau lebih gegancu (sprocket), juga dikenali sebagai chainring atau chainwheel, disambungkan kepada engkol (crank), lengan (arm) atau lengan engkol (crank arm) di mana pemijak kaki (pedal) disambungkan.

Ia dihubungkan kepada pengayuh basikal oleh pemijak kaki (pedal), rangka basikal (bicycle frame) oleh pendakap bawah (bottom bracket atau BB), gegancu belakang (rear sprocket), cassette atau freewheel melalui rantai (chain).

Ahaaa, teknikal tak, teknikal tak ? Jenuh nak terjemah istilah - istilah teknikal ni. Fuhhh fuhhh ...

Tajam
Bersinonim dengan perkataan runcing, lancip, cerucup dan tuding [Sumber: DBP


Peribahasa Melayu
Tajam pisau kerana diasah

Maksud:
Jadi pintar (berani) kerana selalu diasah (diasuh)

01 June 2012

Janggal


[Klik untuk pembesaran imej]

Gambar ini diambil di kawasan Teluk Panglima Garang, perkarangan rumah kak Tun Teja pada 12hb Mei 2012 lalu. Ketika itu kami berempat [termasuk Adnan (dua dari kiri) & Abd Salam (dua dari kanan)] hendak memulakan perjalanan kembara berbasikal bagi misi mencari ladang penanaman teh tanah rendah di Bukit Cheeding, Selangor.

Seperti biasa, foto grup adalah penting bagi merakamkan kenangan perjalanan, dengan kemudahan tripod serta kamera yang disetkan pada aturan masa (self timer), detik-detik itu dapat diabadikan untuk tatapan di masa hadapan.

Ketika saya memuatnaik (upload) gambar ini di laman sosial Facebook, seorang kenalan menyuruh saya meneka kejanggalan pada gambar tersebut. Tanpa berfikir panjang, saya menjawab soalan beliau iaitu satunya kepelikjanggalan pada gambar tersebut ialah hanya seorang individu yang duduk manakala yang lainnya berdiri pada basikal masing-masing. "Kurang tepat", jawabnya ...

Beliau seterusnya menjawab, jawapan paling tepat ialah hanya satu basikal yang dipasangkan dengan tongkat manakala basikal yang lain 'bebas - tongkat' ! Ahaaa, jawapan itu sangat tepat dalam konteks hobi berbasikal. Dalam dunia berbasikal, memasang tongkat pada basikal dilihat tidak cool, lebih-lebih lagi jika ianya dipasangkan pada sebuah road bike. Tetapi saya yakin, ada juga rakan-rakan kayuhan di luar sana yang tidak mempedulikan mengenai ini, cuma memekakkan telinga mereka dan terus sahaja berkayuh. Salute kepada anda !

Basikal saya, jenis touring serta tidak tertakluk kepada terma dan syarat pemasangan tongkat hahahaha ...

Janggal 
Bersinonim dengan canggung, pelik, kekok, kaku, tidak sedap, tidak sesuai, tidak selaras, sumbang atau segok. [Sumber: DBP]