* Translation *

27 April 2015

Banjir


[Klik untuk pembesaran imej]


Info gambar
Sebahagian jalan di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA, dahulunya dikenali sebagai Bukit Cherakah atau Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam) dibanjiri air setelah hujan turun semalaman tanpa henti. Walaubagaimanapun ianya tidak menghalang dua orang pengayuh basikal untuk cuba melalui jalan yang telah dibanjiri air tersebut.

Banjir, menurut takrifan Kamus Dewan Bahasa Online membawa maksud "keadaan air menenggelami atau menggenangi kawasan yang luas; bah".

Bagi saya yang secara peribadinya dibesarkan di pantai timur semenanjung, banjir memang menjadi kebiasaan dan ditunggu-tunggu setiap kali datangnya hujung tahun. Pada umur kanak-kanak, apalah yang kita tahu atau mahu takutkan. Longkang atau parit menjadi tempat bermain; berkubang mahupun belajar berenang. Apabila umur berganjak sedikit, musim banjir dikaitkan dengan hobi memancing pula. 

Musim banjir datang bersama musim tengkujuh, sekaligus ombak besar menghalang nelayan pesisir pantai turun ke laut untuk menangkap ikan. Ketika musim banjir inilah, ada yang mengambil peluang untuk menjala, menjaring mahupun memancing ikan. Hasil tangkapan samada untuk sumber makanan keluarga, ada juga yang dijual. Ini sekurang-kurangnya mengurangkan beban ketika monsun timur laut melanda.

Nota:
Penulis sehingga kini masih lagi tercari-cari bekas rakan sekolah rendahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular (SKSU), 26080, Kuantan, Pahang. Tahun 1 hingga tahun 3 (1985 - 1987) di kelas Hijau, tahun 4 hingga tahun 6 di kelas Merah (1988 - 1990). Andainya anda rakan yang saya cari, email saya di azizanzolkipli@gmail.com

20 April 2015

Senja


[Klik untuk pembesaran imej]


Masa kita kecil dahulu, mungkin mak kita selalu pesan. Bunyinya; "masuk dalam,  dah senja ni. Eeeee takut hantu ..." atau seumpamanya. Tapi ketika itu kita juga barangkali sedar, waktu senja inilah terdapat pemandangan yang sangat indah ketika siang hendak melabuhkan tirainya.

Menikmati pemandangan waktu senja, dapat mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Esa. Betapa hebatnya penciptaan alam, dengan siang dan malam silih berganti. Matahari terbenam dan terbitnya sang rembulan. Begitu juga pasang - surut air di lautan.

Saya ingin sekali berkongsikan lokasi pemandangan indah ini, yang mana ianya sama lokasi dalam gambar pada terbitan artikel lalu.

13 April 2015

Merpati dua sejoli

[Klik untuk imej lebih besar]

Sejoli, mungkin kata dasarnya joli dengan imbuhan se, iaitu satu. Tidak dapat dipastikan dari mana datangnya perkataan joli ini. Tapi yang pastinya, kadangkala kita ada mendengar perkataan joli katak yang diertikan sebagai menikmati ataupun bahasa Inggerisnya enjoy

Sejoli mengikut takrifan hasil rujukan laman web DBP membawa maksud 'sepasang kekasih yang hidup rapat dan bahagia'. 

Pasangan merpati dua sejoli dalam gambar ini adalah Wak Abdul Rahim dan kak Ija, keduanya saya anggap seperti abang dan kakak sendiri. Mereka mempunyai hobi yang sama, iaitu mengembara dengan kenderaan dua roda baik basikal mahupun motorsikal. Perjalanan kembara roda dua mereka boleh dibaca di sini

Pemandangan di sini lebih indah saat menantikan matahari terbenam. Untuk kesini, anda boleh rujuk koordinat [3.078925, 101.355457] atau [N 3 04 44 E 101 21 19] atau [N 3 04.735 E 101 21.327] Motorkar tidak boleh melalui kawasan tersebut, walaubagaimanapun anda boleh kesana berjalan kaki dengan jarak lebih kurang 400 meter dari kawasan terhampir untuk meletak kenderaan. Bagi yang berbasikal mahupun bermotorsikal, tiada sebarang masalah untuk sampai ke situ.


Terdapat satu pengkalan nelayan berhampiran lokasi gambar di atas. Ada peniaga yang menjual hasil tangkapan laut seperti ikan, sotong, ketam dan kerang-kerangan pada harga yang lebih rendah dari pasaran.

Nota:
Wak Rahim juga ada mengusahakan pembuatan beg pannier buatan sendiri untuk kembara motorsikal/basikal. Pada yang berminat, bolehlah mesej di Facebook beliau.