* Translation *

20 December 2016

Upper Seletar Reservoir



Soalan yang korang akan tanya, tidak lain tidak bukan ialah, "kat mana ni" ? OK, ini bukan gambar terkini sebaliknya cuma memori 'campak belakang', throwback kata omputih. Untuk info, gambar ini diambil pada bulan Jun 2015 (11 Ramadhan 1436 H !!) ketika ada tugasan syarikat saya bekerja di republik Singapura. Orang kata, dah alang-alang kesana tu rugi pula jika tidak membawa bersama sekali basikal untuk mengembara.

Upper Seletar Reservoir (bahasa Melayu: Takungan Air Hulu Seletar) ini merupakan salah satu dari komponen Kawasan Takungan Tengah (Central Water Catchment). Dua lagi kawasan yang berada dalam kawasan takungan tengah ialah MacRitchie Reservoir dan Peirce Reservoir.

Upper Seletar Reservoir sebelum ini dikenali sebagai Seletar Reservoir, sebelum siapnya Lower Seletar Reservoir berhampiran Nee Soon, yang dibentuk oleh pengempangan air sungai Seletar pada tahun 1986. Seletar Reservoir dibina untuk memenuhi lonjakan permintaan bekalan air selepas Perang Dunia I. Dibina dikala D. J. Murnane masih seorang jurutera air perbandaran (Municipal Water Engineer). Kerja-kerja pembinaan telah diselia oleh timbalan Murnane, F. G. Hill. Ia siap dibina pada tahun 1940 dan dibuka secara rasmi pada 10 Ogos 1969 oleh HRH Princess Alexandra.

Dah, tutup bab sejarah pembinaan takungan air ini, bagi saya peluang untuk bercerita pengalaman sendiri pula. Mengikut cerita abang Musa, rakan kayuhan dari Singapura yang menjadi jurupandu arah kami pada hari itu, menara yang terdapat di sini pada satu ketika dulu pernah menjadi ikon bagi penduduk republik itu untuk bergambar kenangan. Mereka akan datang pada cuti hujung minggu untuk berkelah dan bersantai bersama-sama keluarga di taman ini. Saya juga tidak ketinggalan mengambil peluang untuk menaiki menara itu hingga ke aras tertinggi bagi meninjau kawasan sekeliling.

Berbalik pada gambar di atas, pokok yang menghiasi tepi tasik itu memang menjadi tumpuan jurufoto bagi mengambil gambar pasangan pengantin. Ketika kami tiba pada pagi Ahad itu, telah terdapat dua pasangan pengantin bersama jurufoto masing-masing, menunggu giliran untuk merakamkan gambar kenangan berlatarbelakangkan pokok itu. Ketika satu pasangan sedang dirakamkan gambar mereka di tepi tasik, saya membawa basikal lalu menyandarkannya di pokok tersebut. Berharap selepas tamat sessi fotografi tersebut mereka akan melalui pada sudut yang saya nantikan.

Penantian selama beberapa minit saya membuahkan hasil ! Yeahhhh ...


Nota:
(1) Penghargaan dan ucapan terima kasih kami kepada rakan-rakan kayuhan di republik Singapura yang sanggup menanti dan melayan kunjungan kami bertiga semasa di sana. Semoga ukhwah kita akan berpanjangan insyaAllah ...
(2) Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut.
(3) Klik pada gambar untuk pembesaran imej

Sumber rujukan:
(1) https://www.nparks.gov.sg/gardens-parks-and-nature/parks-and-nature-reserves/upper-seletar-reservoir-park
(2) https://en.wikipedia.org/wiki/Upper_Seletar_Reservoir
(3) https://en.wikipedia.org/wiki/Central_Catchment_Nature_Reserve
(4) https://en.wikipedia.org/wiki/Princess_Alexandra,_The_Honourable_Lady_Ogilvy

Gambar-gambar lampiran:

Menara yang suatu ketika dulu pernah menjadi ikon bagi penduduk republik Singapura

Melihat pasangan pengantin dirakamkan gambar mereka, pandangan dari puncak menara


Abang Naz & kak Zai menunggu dengan sabar di bawah ketika saya di puncak menara

24 October 2016

Eiffel I'm in love !

Klik pada imej ini untuk melihat gambar lebih besar

Eiffel I'm in love ? Takdelah ... Itu kan cuma tajuk sebuah filem dari negara jiran kita. Klik sini untuk membaca info selanjutnya mengenai filem itu. Sengaja aku gunakan tajuk ini, kononnya nanti senang nak dapat hits ke laman web aku ni hahahahaha ... #gelakjahat

Sebenarnya ini cuma replika Eiffel Tower (maaf, tidak tahu berskala apa) yang terletak di kawasan perumahan baru dibangunkan, Eco Sanctuary, Rimbayu, dalam mukim Teluk Panglima Garang, Selangor. Terlihat di dalam laman sosial perkongsian beberapa rakan kayuhan yang berfoto kenangan di situ, mengakibatkan saya berasa ingin juga kesana.

Pagi Sabtu itu saya mulakan dengan bersarapan pagi menu roti telur bersama kopi o panas di sebuah warung tepi jalan berhampiran kejiranan tempat tinggal saya. Selesai bersarapan, saya berkayuh berseorangan dari seksyen 24 melalui Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LAKSA) memasuki Kota Kemuning seterusnya tiba di Eco Santuary, Rimbayu. 

Tidak sukar mencari lokasi ini walaupun hanya dengan bertanyakan secara am pada rakan-rakan mahupun sekadar melihat foto-foto mereka. Lokasi ini berhampiran sebuah bulatan besar. Dah sampai kesitu, pandai-pandai lah ya hendak posing bagaimana gaya sekalipun.

Tidak membawa kamera bersama tripod, malahan telefon bimbit pula tiada fungsi auto - timer membuatkan saya sekadar mengambil gambar seperti di atas. Terdapat sebuah papantanda besar bertulis Eco Santuary di latar belakangnya, jika tidak kena pada sudut pengambilan foto, nanti akan kantoi lah pula tidak semacam berada di Perancis hehehe ...

OK, habis cerita pasal Eiffel Tower mini kat negara kita ni. Sama-sama kita ketahui fakta tentang Eiffel Tower yang terletak di France ini yang saya kutip dari pelbagai sumber.


Eiffel Tower

Alamat: Champ de Mars, 5 Avenue Anatole France, 75007 Paris, France

Koordinat48.858222, 2.2945

Harga tiket masuk*

- kemasukan dengan lif, sehingga ke tingkat dua: 11.00 Euro bagi dewasa; 8.50 Euro bagi yang berusia 12 - 24 tahun; 4.00 Euro bagi yang berumur 4 - 11 tahun, golongan OKU dan pengganggur warga Perancis (diistilahkan sebagai French job seeker)

- kemasukan dengan lif, sehingga tingkat paling atas: 17.00 Euro bagi dewasa; 14.50 Euro bagi yang berusia 12 - 24 tahun; 8.00 Euro bagi yang berumur 4 - 11 tahun, golongan OKU dan pengganggur warga Perancis.

- kemasukan dengan tangga, sehingga ke tingkat dua: 7.00 Euro bagi dewasa; 5.00 bagi yang berusia 12 - 24 tahun; 3.00 Euro bagi yang berumur 4 - 11 tahun, golongan OKU dan pengganggur warga Perancis.

* Harga tiket di atas adalah pada Oktober 2016 dan benar pada masa artikel ini ditulis. Sumber rujukan dari La Tour Eiffel.

Apa yang perlu kita tahu:

- Ketinggian: 324 meter (1,063 kaki), sama tinggi dengan bangunan 81 tingkat.

- Selama 41 tahun, dari tahun 1889 hingga 1930, Eiffel Tower pernah menjadi struktur buatan manusia yang tertinggi di dunia.

- Lokasi tarikan pelancong masuk berbayar yang paling kerap dilawati dalam dunia.

- Direkabentuk oleh salah seorang jurutera terhebat Perancis abad ke 19, Gustave Eiffel, sebagai mercutanda masuk ke acara Paris Universal Exhibition, juga sebagai tanda ulangtahun jubli emas Revolusi Perancis (1789).

- Pada asalnya dibina untuk berjangkamasa 20 tahun dan sepatutnya struktur itu dibuka pada tahun 1909. Apabila ianya telah menjadi sebagai satu mercutanda, pihak perbandaran Paris membuat keputusan untuk tidak membukanya, satu keputusan yang sememangnya tidak perlu dikesali.

- Eiffel Tower dibuat menggunakan 7,300 tan besi tempa (wrought iron). Penambahan lif, kedai dan antena komunikasi menjadikan jumlah beratnya lebih kurang 10,100 tan. Besi tempa diperhalusi di dalam oven khas dipanggil a reflector oven, dari besi tuang (cast iron) dan sanga dioksidakan (oxidising slag). Teknik ini dicipta pada awal abad ke 19 di England, sebelum ianya digunakan ke seluruh Eropah.

- Dalam keadaan angin kuat, bahagian paling atas Eiffel Tower boleh berhayun sehingga 9 sentimeter, atau 3.5 inci (magnitud direkodkan pada tahun 1999). 

- Eiffel Tower dicat semula setiap tujun tahun. Operasi pengecatan terakhir ialah pada Disember 2010. Keterangan mengenai proses mengecat Eiffel Tower boleh dibaca di sini.

- Nama-nama yang ditulis pada Eiffel Tower adalah 72 orang saintis dari pelbagai lapangan. Senarai nama-nama saintis itu boleh dirujuk di sini.

- Pada 26hb Mei 1889, sebuah lif dipasang pada Eiffel Tower bertujuan untuk kegunaan pelawat. Semua lif mulai beroperasi bermula pada tarikh 16hb Jun 1889. Walaupun telah mengalami beberapa pengubahan, dua lif asal masih beroperasi sehingga kini. Pengkisahan mengenai lif boleh dibaca di sini.

- Kos pembinaan Eiffel Tower menelan belanja sebanyak 7,800,000.00 emas Francs (1889)

Sekian.

Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut.

07 January 2016

Muntah

[Klik untuk pembesaran imej]



Muntah, mengikut rujukan kamus DBP bererti "keluar kembali daripada mulut (barang yang dimakan dan lain - lain) ..."

Siapa yang tidak geli dengan muntah, bukan ? Tapi sejujurnya, saya lebih geli hati apabila membaca tulisan di papantanda ini. Sila muntah di lokasi lain, OK ! Hehehe ... 

Nota:
Anda akan menjumpai papantanda ini di sebelah kiri jalan apabila melalui Kelok 44 menuju Danau Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Secara spesifiknya, ia terletak di Kelok 23. Semoga ketemu ...