* Translation *

23 December 2015

Jam Gadang

[Klik untuk pembesaran imej]


Syukur pada Tuhan, pada penghujung Syawal 1436H (Ogos 2015) yang lalu, aku dan beberapa orang rakan kayuhan telah berpeluang untuk berkembara basikal di beberapa kawasan sekitar Sumatera Barat, Indonesia.

Kami mulai pengembaraan kami di Kelok 9, memasuki Lembah Harau, melalui Payakumbuh sehingga ke Bukit Tinggi, dimana kumpulan kami ini kemudiannya berpecah kepada dua. Separuh dari peserta pulang ke tanahair, manakala separuh lagi menyambung perjalanan menuju ke Danau Maninjau. Bukit Tinggi ini menjadi titik pemisah perjalanan antara kedua kumpulan.

Salah satu dari tarikan pengunjung ke Bukit Tinggi adalah Jam Gadang. 'Gadang' dalam bahasa Minangkabau bererti besar. Kami tiba di sini pada petang Ahad, dimana merupakan hari cuti (hari libur dalam bahasa Indonesia). Pelbagai aktiviti dapat kami saksikan seperti bersantai bersama ahli keluarga, rakan mahupun pasangan kekasih; terdapat juga penjualan cenderahati, penjualan makanan dan minuman, perkhidmatan mengambil gambar dan mencetak samada gambar biasa ataupun diletakkan dalam kerangka (frame). Yang pastinya, individu menjual peralatan membuat 'belon buih' menggunakan sabun menjadi tarikan utama buat kanak - kanak. Di satu sudut sebelah sini, terdapat penjual ubat yang menggunakan persembahan ular untuk menarik perhatian pengunjung.

Ada satu perkara, yang aku rasa mungkin kebanyakan yang pernah mengunjungi tempat ini tidak perasan andai ianya tidak diperhatikan betul - betul. Jom aku kongsikan imej zoom in dari gambar sama seperti di atas.


[Klik untuk pembesaran imej]

Cuba kalian perhatikan betul - betul pada angka 4 itu. Bukankah sepatutnya angka 4 sama dengan IV, dan bukannya IIII ?? Haaa, jika kalian tidak perasan maksudnya di lain kali kena berkunjung lagi ke sini hahaha ...

Untuk sejarah Jam Gadang ini, kalian bolehlah membacanya di sini (bahasa Indonesia), di sini (bahasa Inggeris), di sini (bahasa Jawa),atau di sini (bahasa Minangkabau) hehehe ...

#malastaip #jarilenguh

Kbaiii ...

Nota:
Rakaman video pengalaman petang hujung minggu di Jam Gadang boleh ditonton di sini.

27 April 2015

Banjir


[Klik untuk pembesaran imej]


Info gambar
Sebahagian jalan di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA, dahulunya dikenali sebagai Bukit Cherakah atau Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam) dibanjiri air setelah hujan turun semalaman tanpa henti. Walaubagaimanapun ianya tidak menghalang dua orang pengayuh basikal untuk cuba melalui jalan yang telah dibanjiri air tersebut.

Banjir, menurut takrifan Kamus Dewan Bahasa Online membawa maksud "keadaan air menenggelami atau menggenangi kawasan yang luas; bah".

Bagi saya yang secara peribadinya dibesarkan di pantai timur semenanjung, banjir memang menjadi kebiasaan dan ditunggu-tunggu setiap kali datangnya hujung tahun. Pada umur kanak-kanak, apalah yang kita tahu atau mahu takutkan. Longkang atau parit menjadi tempat bermain; berkubang mahupun belajar berenang. Apabila umur berganjak sedikit, musim banjir dikaitkan dengan hobi memancing pula. 

Musim banjir datang bersama musim tengkujuh, sekaligus ombak besar menghalang nelayan pesisir pantai turun ke laut untuk menangkap ikan. Ketika musim banjir inilah, ada yang mengambil peluang untuk menjala, menjaring mahupun memancing ikan. Hasil tangkapan samada untuk sumber makanan keluarga, ada juga yang dijual. Ini sekurang-kurangnya mengurangkan beban ketika monsun timur laut melanda.

Nota:
Penulis sehingga kini masih lagi tercari-cari bekas rakan sekolah rendahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular (SKSU), 26080, Kuantan, Pahang. Tahun 1 hingga tahun 3 (1985 - 1987) di kelas Hijau, tahun 4 hingga tahun 6 di kelas Merah (1988 - 1990). Andainya anda rakan yang saya cari, email saya di azizanzolkipli@gmail.com

20 April 2015

Senja


[Klik untuk pembesaran imej]


Masa kita kecil dahulu, mungkin mak kita selalu pesan. Bunyinya; "masuk dalam,  dah senja ni. Eeeee takut hantu ..." atau seumpamanya. Tapi ketika itu kita juga barangkali sedar, waktu senja inilah terdapat pemandangan yang sangat indah ketika siang hendak melabuhkan tirainya.

Menikmati pemandangan waktu senja, dapat mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Esa. Betapa hebatnya penciptaan alam, dengan siang dan malam silih berganti. Matahari terbenam dan terbitnya sang rembulan. Begitu juga pasang - surut air di lautan.

Saya ingin sekali berkongsikan lokasi pemandangan indah ini, yang mana ianya sama lokasi dalam gambar pada terbitan artikel lalu.

13 April 2015

Merpati dua sejoli

[Klik untuk imej lebih besar]

Sejoli, mungkin kata dasarnya joli dengan imbuhan se, iaitu satu. Tidak dapat dipastikan dari mana datangnya perkataan joli ini. Tapi yang pastinya, kadangkala kita ada mendengar perkataan joli katak yang diertikan sebagai menikmati ataupun bahasa Inggerisnya enjoy

Sejoli mengikut takrifan hasil rujukan laman web DBP membawa maksud 'sepasang kekasih yang hidup rapat dan bahagia'. 

Pasangan merpati dua sejoli dalam gambar ini adalah Wak Abdul Rahim dan kak Ija, keduanya saya anggap seperti abang dan kakak sendiri. Mereka mempunyai hobi yang sama, iaitu mengembara dengan kenderaan dua roda baik basikal mahupun motorsikal. Perjalanan kembara roda dua mereka boleh dibaca di sini

Pemandangan di sini lebih indah saat menantikan matahari terbenam. Untuk kesini, anda boleh rujuk koordinat [3.078925, 101.355457] atau [N 3 04 44 E 101 21 19] atau [N 3 04.735 E 101 21.327] Motorkar tidak boleh melalui kawasan tersebut, walaubagaimanapun anda boleh kesana berjalan kaki dengan jarak lebih kurang 400 meter dari kawasan terhampir untuk meletak kenderaan. Bagi yang berbasikal mahupun bermotorsikal, tiada sebarang masalah untuk sampai ke situ.


Terdapat satu pengkalan nelayan berhampiran lokasi gambar di atas. Ada peniaga yang menjual hasil tangkapan laut seperti ikan, sotong, ketam dan kerang-kerangan pada harga yang lebih rendah dari pasaran.

Nota:
Wak Rahim juga ada mengusahakan pembuatan beg pannier buatan sendiri untuk kembara motorsikal/basikal. Pada yang berminat, bolehlah mesej di Facebook beliau.

23 March 2015

Laman Seni Seksyen 2

[ Klik untuk pembesaran imej ]

Seni lukisan dinding (graffiti mahupun mural), filem-filem lakonan Allahyarham P Ramlee serta rakan-rakan beliau, basikal dan juga kucing. Semua ini menjadi obsesi saya dalam kehidupan. Dalam ketidaksengajaan ketika berkembara berbasikal, kesemua ini dapat saya satukannya dalam sebuah foto.

Ini terjadi ketika saya melihat-lihat hasil seni di sebuah lorong yang dinamakan sebagai Laman Seni Seksyen 2, Shah Alam. Hendak mencari lokasi tempat ini, ahhhh senang sahaja. Rujuk peta yang saya lampirkan di bawah.


[ Klik untuk pembesaran imej ]


Korang cari deretan kedai antara Jalan Bunga Melur 2/18 dan Jalan Bunga Tanjung 2/16. Hasil-hasil seni itu terdapat di lorong belakang kedua deretan kedai tersebut. Masih gagal mencari ? Haaa itu kena ajak saya jadi penunjuk arah, dengan syarat kena belanja makan ABC Fradoo hehehe ...