* Translation *

31 December 2012

Kapal selam


[Klik untuk pembesaran imej]

Ketika memuatnaikkan gambar ini di laman sosial Facebook, saya mendapat banyak komen dari rakan-rakan tentang gambar ini. Ada yang memuji, tidak kurang juga yang mengeji. Sedar ataupun tidak, ternyata kapal selam merupakan isu hangat dan kadang-kadang sensitif bagi warga Malaysia.

Sebelum saya bercerita lebih lanjut tentang kisah di sebalik gambar ini, biarlah kita mengetahui definisi kapal selam. Menurut rujukan dari DBP, kapal selam bermaksud 'kapal yang dapat belayar di bawah permukaan air' atau 'kapal yang boleh bergerak di dalam air (biasanya untuk kegunaan peperangan).

Definisi itulah yang membezakan ianya dengan kapal terbang dan kapal laut. Walaubagaimanapun, ketiga-tiga kapal ini tidaklah sama dengan Kapal Api kerana ianya hanya kenderaan pengangkutan yang boleh dinaiki tetapi tidak boleh diminum. Hehehe, jangan marah ( :

Kisah di sebalik gambar:
 
Isnin, 25hb Jun 2012. Sewaktu ingin pulang dari Melaka ke Port Dickson ketika perjalanan kembara berbasikal solo, saya sempat singgah di Pantai Klebang. Sebuah pantai rekreasi yang kelihatannya seperti telah ditambak (land reclamation). Di satu sudut, jauh dari pantai tempat saya berhenti, ternampak objek besar dalam kawasan berpagar zink biru yang kelihatan seperti sebuah torpedo gergasi

Saya membawa basikal ke sana, dalam laluan berpasir yang jika tidak pandai mengawal tayar hadapan akan tergelincir dan boleh membuatkan kita terjatuh. Tiada seorang pengunjung pun pada ketika itu, mungkin kerana hari itu Isnin dan cuaca baru lepas hujan.

Terdapat sebuah pos pengawal, dengan seorang pemuda berbangsa India menjadi petugasnya. Dari kertas info yang ditampal pada bahagian depan kaunter pos pengawal, yuran kemasukan adalah RM 1 bagi orang dewasa dan RM 0.50 bagi kanak-kanak manakala waktu operasinya pula setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga jam 5.45 petang manakala hari Jumaat 9.00 pagi hingga 12.45 tengahari dan 2.45 hingga 5.45 petang.

Muzium yang kelihatan seperti belum sempurna ini dinamakan Muzium Kapal Selam SMD Quessant, diurustadbirkan oleh Perbadanan Muzium Melaka atau nama ringkasnya PERZIM. Pucuk dicita, ulam mendatang. Tiba-tiba datang idea untuk mengabadikan kenangan melawat ke tempat ini dengan membuat sesi foto menggunakan basikal saya sebagai modelnya. Kebenaran bergambar saya minta dan perolehi dari petugas muzium. Tidak pasti samada orang lain dapat berbuat yang sama jika datang pada hujung minggu. Mungkin saya dibenarkan untuk membawa masuk basikal kerana hari ini tiada langsung pengunjung. 

Selain dari melihat (juga memegang !) kapal selam dari jarak dekat, pengunjung juga boleh melihat ruang pameran yang mempamerkan tentang nota-nota dan foto-foto ketika proses membawa pulang kapal selam ini. Keratan akhbar tempatan mengenai kapal selam ini turut diletakkan untuk tatapan pengunjung. Saya yang mengimpikan untuk masuk sendiri melihat keadaan dalam kapal selam ini, tidak dapat berbuat demikian kerana muzium ini nampaknya masih dalam peringkat pembangunan jika dilihat pada keadaan sekelilingnya.

Puas bergambar dan mengumpul segala info, saya meninggalkan objek besi kaku ini untuk menyambung perjalanan menghala ke Port Dickson dengan satu perkara yang bermain di minda. Untuk menikmati coconut chake Klebang !

Nota:
Gambar-gambar ketika saya melawat Muzium Kapal Selam boleh dilihat di sini. Maaf, hanya untuk individu yang memiliki akaun Facebook sahaja ...


Gambar bonus [Klik untuk pembesaran imej]

2 comments:

suzilawati zainal abidin said...

ahhaaa....

saya pon dah pegi sini...

ambil gambar kat buritan kapal tu jugak...

Azizan Zolkipli said...

@suzilawati zainal abidin: Hahh, dah pergi juga ? Bila, bila ? Takde gambor pembuktian pun : p