* Translation *

12 February 2018

Replika beca gergasi

Klik pada gambar untuk pembesaran imej


Foto kenangan bersama famili di replika beca gergasi ini diambil selepas kenduri pernikahan adik saya yang bongsu sekitar tahun 2015

Lokasi beca gergasi ini terletak di Taman Rekreasi Kesang; dalam daerah Muar, Johor Darul Takzim dan terletak tidak jauh dari Sungai Rambai yang menjadi gerbang masuk terselatan negeri Melaka.

Koordinat GPS: 2.124478, 102.501613


20 December 2016

Upper Seletar Reservoir



Soalan yang korang akan tanya, tidak lain tidak bukan ialah, "kat mana ni" ? OK, ini bukan gambar terkini sebaliknya cuma memori 'campak belakang', throwback kata omputih. Untuk info, gambar ini diambil pada bulan Jun 2015 (11 Ramadhan 1436 H !!) ketika ada tugasan syarikat saya bekerja di republik Singapura. Orang kata, dah alang-alang kesana tu rugi pula jika tidak membawa bersama sekali basikal untuk mengembara.

Upper Seletar Reservoir (bahasa Melayu: Takungan Air Hulu Seletar) ini merupakan salah satu dari komponen Kawasan Takungan Tengah (Central Water Catchment). Dua lagi kawasan yang berada dalam kawasan takungan tengah ialah MacRitchie Reservoir dan Peirce Reservoir.

Upper Seletar Reservoir sebelum ini dikenali sebagai Seletar Reservoir, sebelum siapnya Lower Seletar Reservoir berhampiran Nee Soon, yang dibentuk oleh pengempangan air sungai Seletar pada tahun 1986. Seletar Reservoir dibina untuk memenuhi lonjakan permintaan bekalan air selepas Perang Dunia I. Dibina dikala D. J. Murnane masih seorang jurutera air perbandaran (Municipal Water Engineer). Kerja-kerja pembinaan telah diselia oleh timbalan Murnane, F. G. Hill. Ia siap dibina pada tahun 1940 dan dibuka secara rasmi pada 10 Ogos 1969 oleh HRH Princess Alexandra.

Dah, tutup bab sejarah pembinaan takungan air ini, bagi saya peluang untuk bercerita pengalaman sendiri pula. Mengikut cerita abang Musa, rakan kayuhan dari Singapura yang menjadi jurupandu arah kami pada hari itu, menara yang terdapat di sini pada satu ketika dulu pernah menjadi ikon bagi penduduk republik itu untuk bergambar kenangan. Mereka akan datang pada cuti hujung minggu untuk berkelah dan bersantai bersama-sama keluarga di taman ini. Saya juga tidak ketinggalan mengambil peluang untuk menaiki menara itu hingga ke aras tertinggi bagi meninjau kawasan sekeliling.

Berbalik pada gambar di atas, pokok yang menghiasi tepi tasik itu memang menjadi tumpuan jurufoto bagi mengambil gambar pasangan pengantin. Ketika kami tiba pada pagi Ahad itu, telah terdapat dua pasangan pengantin bersama jurufoto masing-masing, menunggu giliran untuk merakamkan gambar kenangan berlatarbelakangkan pokok itu. Ketika satu pasangan sedang dirakamkan gambar mereka di tepi tasik, saya membawa basikal lalu menyandarkannya di pokok tersebut. Berharap selepas tamat sessi fotografi tersebut mereka akan melalui pada sudut yang saya nantikan.

Penantian selama beberapa minit saya membuahkan hasil ! Yeahhhh ...


Nota:
(1) Penghargaan dan ucapan terima kasih kami kepada rakan-rakan kayuhan di republik Singapura yang sanggup menanti dan melayan kunjungan kami bertiga semasa di sana. Semoga ukhwah kita akan berpanjangan insyaAllah ...
(2) Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut.
(3) Klik pada gambar untuk pembesaran imej

Sumber rujukan:
(1) https://www.nparks.gov.sg/gardens-parks-and-nature/parks-and-nature-reserves/upper-seletar-reservoir-park
(2) https://en.wikipedia.org/wiki/Upper_Seletar_Reservoir
(3) https://en.wikipedia.org/wiki/Central_Catchment_Nature_Reserve
(4) https://en.wikipedia.org/wiki/Princess_Alexandra,_The_Honourable_Lady_Ogilvy

Gambar-gambar lampiran:

Menara yang suatu ketika dulu pernah menjadi ikon bagi penduduk republik Singapura

Melihat pasangan pengantin dirakamkan gambar mereka, pandangan dari puncak menara


Abang Naz & kak Zai menunggu dengan sabar di bawah ketika saya di puncak menara

24 October 2016

Eiffel I'm in love !

Klik pada imej ini untuk melihat gambar lebih besar

Eiffel I'm in love ? Takdelah ... Itu kan cuma tajuk sebuah filem dari negara jiran kita. Klik sini untuk membaca info selanjutnya mengenai filem itu. Sengaja aku gunakan tajuk ini, kononnya nanti senang nak dapat hits ke laman web aku ni hahahahaha ... #gelakjahat

Sebenarnya ini cuma replika Eiffel Tower (maaf, tidak tahu berskala apa) yang terletak di kawasan perumahan baru dibangunkan, Eco Sanctuary, Rimbayu, dalam mukim Teluk Panglima Garang, Selangor. Terlihat di dalam laman sosial perkongsian beberapa rakan kayuhan yang berfoto kenangan di situ, mengakibatkan saya berasa ingin juga kesana.

Pagi Sabtu itu saya mulakan dengan bersarapan pagi menu roti telur bersama kopi o panas di sebuah warung tepi jalan berhampiran kejiranan tempat tinggal saya. Selesai bersarapan, saya berkayuh berseorangan dari seksyen 24 melalui Lebuhraya Kemuning - Shah Alam (LAKSA) memasuki Kota Kemuning seterusnya tiba di Eco Santuary, Rimbayu. 

Tidak sukar mencari lokasi ini walaupun hanya dengan bertanyakan secara am pada rakan-rakan mahupun sekadar melihat foto-foto mereka. Lokasi ini berhampiran sebuah bulatan besar. Dah sampai kesitu, pandai-pandai lah ya hendak posing bagaimana gaya sekalipun.

Tidak membawa kamera bersama tripod, malahan telefon bimbit pula tiada fungsi auto - timer membuatkan saya sekadar mengambil gambar seperti di atas. Terdapat sebuah papantanda besar bertulis Eco Santuary di latar belakangnya, jika tidak kena pada sudut pengambilan foto, nanti akan kantoi lah pula tidak semacam berada di Perancis hehehe ...

OK, habis cerita pasal Eiffel Tower mini kat negara kita ni. Sama-sama kita ketahui fakta tentang Eiffel Tower yang terletak di France ini yang saya kutip dari pelbagai sumber.


Eiffel Tower

Alamat: Champ de Mars, 5 Avenue Anatole France, 75007 Paris, France

Koordinat: 48.858222, 2.2945

Harga tiket masuk*: 

- kemasukan dengan lif, sehingga ke tingkat dua: 11.00 Euro bagi dewasa; 8.50 Euro bagi yang berusia 12 - 24 tahun; 4.00 Euro bagi yang berumur 4 - 11 tahun, golongan OKU dan pengganggur warga Perancis (diistilahkan sebagai French job seeker)

- kemasukan dengan lif, sehingga tingkat paling atas: 17.00 Euro bagi dewasa; 14.50 Euro bagi yang berusia 12 - 24 tahun; 8.00 Euro bagi yang berumur 4 - 11 tahun, golongan OKU dan pengganggur warga Perancis.

- kemasukan dengan tangga, sehingga ke tingkat dua: 7.00 Euro bagi dewasa; 5.00 bagi yang berusia 12 - 24 tahun; 3.00 Euro bagi yang berumur 4 - 11 tahun, golongan OKU dan pengganggur warga Perancis.

* Harga tiket di atas adalah pada Oktober 2016 dan benar pada masa artikel ini ditulis. Sumber rujukan dari La Tour Eiffel.

Apa yang perlu kita tahu:

- Ketinggian: 324 meter (1,063 kaki), sama tinggi dengan bangunan 81 tingkat.

- Selama 41 tahun, dari tahun 1889 hingga 1930, Eiffel Tower pernah menjadi struktur buatan manusia yang tertinggi di dunia.

- Lokasi tarikan pelancong masuk berbayar yang paling kerap dilawati dalam dunia.

- Direkabentuk oleh salah seorang jurutera terhebat Perancis abad ke 19, Gustave Eiffel, sebagai mercutanda masuk ke acara Paris Universal Exhibition, juga sebagai tanda ulangtahun jubli emas Revolusi Perancis (1789).

- Pada asalnya dibina untuk berjangkamasa 20 tahun dan sepatutnya struktur itu dibuka pada tahun 1909. Apabila ianya telah menjadi sebagai satu mercutanda, pihak perbandaran Paris membuat keputusan untuk tidak membukanya, satu keputusan yang sememangnya tidak perlu dikesali.

- Eiffel Tower dibuat menggunakan 7,300 tan besi tempa (wrought iron). Penambahan lif, kedai dan antena komunikasi menjadikan jumlah beratnya lebih kurang 10,100 tan. Besi tempa diperhalusi di dalam oven khas dipanggil a reflector oven, dari besi tuang (cast iron) dan sanga dioksidakan (oxidising slag). Teknik ini dicipta pada awal abad ke 19 di England, sebelum ianya digunakan ke seluruh Eropah.

- Dalam keadaan angin kuat, bahagian paling atas Eiffel Tower boleh berhayun sehingga 9 sentimeter, atau 3.5 inci (magnitud direkodkan pada tahun 1999). 

- Eiffel Tower dicat semula setiap tujun tahun. Operasi pengecatan terakhir ialah pada Disember 2010. Keterangan mengenai proses mengecat Eiffel Tower boleh dibaca di sini.

- Nama-nama yang ditulis pada Eiffel Tower adalah 72 orang saintis dari pelbagai lapangan. Senarai nama-nama saintis itu boleh dirujuk di sini.

- Pada 26hb Mei 1889, sebuah lif dipasang pada Eiffel Tower bertujuan untuk kegunaan pelawat. Semua lif mulai beroperasi bermula pada tarikh 16hb Jun 1889. Walaupun telah mengalami beberapa pengubahan, dua lif asal masih beroperasi sehingga kini. Pengkisahan mengenai lif boleh dibaca di sini.

- Kos pembinaan Eiffel Tower menelan belanja sebanyak 7,800,000.00 emas Francs (1889)

Sekian.

Nota: Tulisan berwarna biru boleh diklik untuk bacaan lanjut.

07 January 2016

Muntah

[Klik untuk pembesaran imej]



Muntah, mengikut rujukan kamus DBP bererti "keluar kembali daripada mulut (barang yang dimakan dan lain - lain) ..."

Siapa yang tidak geli dengan muntah, bukan ? Tapi sejujurnya, saya lebih geli hati apabila membaca tulisan di papantanda ini. Sila muntah di lokasi lain, OK ! Hehehe ... 

Nota:
Anda akan menjumpai papantanda ini di sebelah kiri jalan apabila melalui Kelok 44 menuju Danau Maninjau, Sumatera Barat, Indonesia. Secara spesifiknya, ia terletak di Kelok 23. Semoga ketemu ... 

23 December 2015

Jam Gadang

[Klik untuk pembesaran imej]


Syukur pada Tuhan, pada penghujung Syawal 1436H (Ogos 2015) yang lalu, aku dan beberapa orang rakan kayuhan telah berpeluang untuk berkembara basikal di beberapa kawasan sekitar Sumatera Barat, Indonesia.

Kami mulai pengembaraan kami di Kelok 9, memasuki Lembah Harau, melalui Payakumbuh sehingga ke Bukit Tinggi, dimana kumpulan kami ini kemudiannya berpecah kepada dua. Separuh dari peserta pulang ke tanahair, manakala separuh lagi menyambung perjalanan menuju ke Danau Maninjau. Bukit Tinggi ini menjadi titik pemisah perjalanan antara kedua kumpulan.

Salah satu dari tarikan pengunjung ke Bukit Tinggi adalah Jam Gadang. 'Gadang' dalam bahasa Minangkabau bererti besar. Kami tiba di sini pada petang Ahad, dimana merupakan hari cuti (hari libur dalam bahasa Indonesia). Pelbagai aktiviti dapat kami saksikan seperti bersantai bersama ahli keluarga, rakan mahupun pasangan kekasih; terdapat juga penjualan cenderahati, penjualan makanan dan minuman, perkhidmatan mengambil gambar dan mencetak samada gambar biasa ataupun diletakkan dalam kerangka (frame). Yang pastinya, individu menjual peralatan membuat 'belon buih' menggunakan sabun menjadi tarikan utama buat kanak - kanak. Di satu sudut sebelah sini, terdapat penjual ubat yang menggunakan persembahan ular untuk menarik perhatian pengunjung.

Ada satu perkara, yang aku rasa mungkin kebanyakan yang pernah mengunjungi tempat ini tidak perasan andai ianya tidak diperhatikan betul - betul. Jom aku kongsikan imej zoom in dari gambar sama seperti di atas.


[Klik untuk pembesaran imej]

Cuba kalian perhatikan betul - betul pada angka 4 itu. Bukankah sepatutnya angka 4 sama dengan IV, dan bukannya IIII ?? Haaa, jika kalian tidak perasan maksudnya di lain kali kena berkunjung lagi ke sini hahaha ...

Untuk sejarah Jam Gadang ini, kalian bolehlah membacanya di sini (bahasa Indonesia), di sini (bahasa Inggeris), di sini (bahasa Jawa),atau di sini (bahasa Minangkabau) hehehe ...

#malastaip #jarilenguh

Kbaiii ...

Nota:
Rakaman video pengalaman petang hujung minggu di Jam Gadang boleh ditonton di sini.

27 April 2015

Banjir


[Klik untuk pembesaran imej]


Info gambar: 
Sebahagian jalan di Taman Botani Negara Shah Alam (TBNSA, dahulunya dikenali sebagai Bukit Cherakah atau Taman Pertanian Bukit Cahaya Seri Alam) dibanjiri air setelah hujan turun semalaman tanpa henti. Walaubagaimanapun ianya tidak menghalang dua orang pengayuh basikal untuk cuba melalui jalan yang telah dibanjiri air tersebut.

Banjir, menurut takrifan Kamus Dewan Bahasa Online membawa maksud "keadaan air menenggelami atau menggenangi kawasan yang luas; bah".

Bagi saya yang secara peribadinya dibesarkan di pantai timur semenanjung, banjir memang menjadi kebiasaan dan ditunggu-tunggu setiap kali datangnya hujung tahun. Pada umur kanak-kanak, apalah yang kita tahu atau mahu takutkan. Longkang atau parit menjadi tempat bermain; berkubang mahupun belajar berenang. Apabila umur berganjak sedikit, musim banjir dikaitkan dengan hobi memancing pula. 

Musim banjir datang bersama musim tengkujuh, sekaligus ombak besar menghalang nelayan pesisir pantai turun ke laut untuk menangkap ikan. Ketika musim banjir inilah, ada yang mengambil peluang untuk menjala, menjaring mahupun memancing ikan. Hasil tangkapan samada untuk sumber makanan keluarga, ada juga yang dijual. Ini sekurang-kurangnya mengurangkan beban ketika monsun timur laut melanda.

Nota:
Penulis sehingga kini masih lagi tercari-cari bekas rakan sekolah rendahnya iaitu Sekolah Kebangsaan Sungai Ular (SKSU), 26080, Kuantan, Pahang. Tahun 1 hingga tahun 3 (1985 - 1987) di kelas Hijau, tahun 4 hingga tahun 6 di kelas Merah (1988 - 1990). Andainya anda rakan yang saya cari, email saya di azizanzolkipli@gmail.com

20 April 2015

Senja


[Klik untuk pembesaran imej]


Masa kita kecil dahulu, mungkin mak kita selalu pesan. Bunyinya; "masuk dalam,  dah senja ni. Eeeee takut hantu ..." atau seumpamanya. Tapi ketika itu kita juga barangkali sedar, waktu senja inilah terdapat pemandangan yang sangat indah ketika siang hendak melabuhkan tirainya.

Menikmati pemandangan waktu senja, dapat mendekatkan diri kita kepada Yang Maha Esa. Betapa hebatnya penciptaan alam, dengan siang dan malam silih berganti. Matahari terbenam dan terbitnya sang rembulan. Begitu juga pasang - surut air di lautan.

Saya ingin sekali berkongsikan lokasi pemandangan indah ini, yang mana ianya sama lokasi dalam gambar pada terbitan artikel lalu.

13 April 2015

Merpati dua sejoli

[Klik untuk imej lebih besar]

Sejoli, mungkin kata dasarnya joli dengan imbuhan se, iaitu satu. Tidak dapat dipastikan dari mana datangnya perkataan joli ini. Tapi yang pastinya, kadangkala kita ada mendengar perkataan joli katak yang diertikan sebagai menikmati ataupun bahasa Inggerisnya enjoy

Sejoli mengikut takrifan hasil rujukan laman web DBP membawa maksud 'sepasang kekasih yang hidup rapat dan bahagia'. 

Pasangan merpati dua sejoli dalam gambar ini adalah Wak Abdul Rahim dan kak Ija, keduanya saya anggap seperti abang dan kakak sendiri. Mereka mempunyai hobi yang sama, iaitu mengembara dengan kenderaan dua roda baik basikal mahupun motorsikal. Perjalanan kembara roda dua mereka boleh dibaca di sini. 

Pemandangan di sini lebih indah saat menantikan matahari terbenam. Untuk kesini, anda boleh rujuk koordinat [3.078925, 101.355457] atau [N 3 04 44 E 101 21 19] atau [N 3 04.735 E 101 21.327] Motorkar tidak boleh melalui kawasan tersebut, walaubagaimanapun anda boleh kesana berjalan kaki dengan jarak lebih kurang 400 meter dari kawasan terhampir untuk meletak kenderaan. Bagi yang berbasikal mahupun bermotorsikal, tiada sebarang masalah untuk sampai ke situ.


Terdapat satu pengkalan nelayan berhampiran lokasi gambar di atas. Ada peniaga yang menjual hasil tangkapan laut seperti ikan, sotong, ketam dan kerang-kerangan pada harga yang lebih rendah dari pasaran.

Nota:
Wak Rahim juga ada mengusahakan pembuatan beg pannier buatan sendiri untuk kembara motorsikal/basikal. Pada yang berminat, bolehlah mesej di Facebook beliau.

23 March 2015

Laman Seni Seksyen 2

[ Klik untuk pembesaran imej ]

Seni lukisan dinding (graffiti mahupun mural), filem-filem lakonan Allahyarham P Ramlee serta rakan-rakan beliau, basikal dan juga kucing. Semua ini menjadi obsesi saya dalam kehidupan. Dalam ketidaksengajaan ketika berkembara berbasikal, kesemua ini dapat saya satukannya dalam sebuah foto.

Ini terjadi ketika saya melihat-lihat hasil seni di sebuah lorong yang dinamakan sebagai Laman Seni Seksyen 2, Shah Alam. Hendak mencari lokasi tempat ini, ahhhh senang sahaja. Rujuk peta yang saya lampirkan di bawah.


[ Klik untuk pembesaran imej ]


Korang cari deretan kedai antara Jalan Bunga Melur 2/18 dan Jalan Bunga Tanjung 2/16. Hasil-hasil seni itu terdapat di lorong belakang kedua deretan kedai tersebut. Masih gagal mencari ? Haaa itu kena ajak saya jadi penunjuk arah, dengan syarat kena belanja makan ABC Fradoo hehehe ...

02 September 2013

Corvette 'Pari' (Sting Ray)


[Klik untuk pembesaran imej]

Kayuhan santai solo hujung minggu saya menemukan dengan sebuah kereta yang amat sukar dilihat di atas jalanraya negara kita. Bentuknya yang seakan mirip pandangan hadapan seekor ikan pari, bersesuaian dengan nama modelnya.

Walaupun hanya tersadai di parkir sebuah bengkel membaiki kereta, namun jika dilihat pada kilauan catnya pasti kita akan menggagak yang kereta ini istimewa bagi pemiliknya. Terbiar sepi pun sudah berkilat semacam ini, apatahlagi jika berada di laman rumah pemilik bertuahnya ...

Klik sini untuk bacaan lanjut mengenai kereta ini.

29 July 2013

Mural


[Klik untuk pembesaran imej]


Mural
Lukisan atau gambar yang besar pada dinding ATAU dinding atau lelangit bangunan yang dihiasi dengan lukisan cat.
[Sumber rujukan: DBP]

Mural ini terletak di sebuah pangsapuri Seksyen 24 Shah Alam, tidak jauh dari kediaman saya. Sebenarnya telah lama saya perhatikannya, tetapi entah mengapa hanya sekarang baru terlintas di hati untuk melihatnya secara jarak dekat. Mural ini dibuat sempena pertandingan melukis hiasan dinding anjuran PKNS. Ianya dikekalkan untuk menjadi kenangan bagi para penduduk serta mengingatkan mereka tentang kepentingan menjaga hak bersama.

Nota kaki:
Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada individu yang sudi klik pada ruangan iklan di sisi kanan artikel ini. Terima kasih ( :

22 July 2013

Ford Mustang


[Klik untuk pembesaran imej]

Buat pertama kalinya dalam sejarah hidup, aku dapat bersua dengan sebuah 'kereta otot' (hahaha: gelak besar) atau dalam bahasa Inggerisnya 'muscle car' dari jenama Ford model Mustang. Aku pasti ramai yang termimpi untuk memandunya, apatahlagi memiliki kereta yang menjadi kegilaan kerana pernah ditampilkan dalam beberapa buah filem aksi kereta.

Tapi sayang kerana tidak semua berpeluang untuk melihat sendiri kereta ini di atas jalanraya negara kita, kerana ianya amat sukar untuk didapati. Jika ada pun, pada pertunjukan kereta (autoshow) mahupun perhimpunan kereta klasik dan vintaj (vintage).

Aku antara insan bertuah, kerana dalam jangkamasa sebulan dapat melihat tiga buah kereta Ford Mustang ini di jalanan. Kereta di atas ku temui di Jalan Dato' Mohd Sidin, Klang ketika berkayuh menghala ke arah Stesyen Penjana Jambatan Connaught (Connaught Bridge Power Station).

Nota kaki:
Penulis mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan pada individu yang sudi klik pada ruangan iklan di sisi kanan artikel ini. Terima kasih ( :

01 July 2013

Replika



[Klik untuk pembesaran imej]


Replika
Model sesuatu objek seperti bangunan, jentera atau lain-lain yang hampir atau betul-betul menyerupai objek yang asli.

Rujukan: Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP]

Nota:
Replika sebuah basikal yang dibeli oleh seorang rakan sebagai cenderahati buat dirinya ketika berkayuh di Danau Toba.

24 June 2013

Khemah



[Klik untuk pembesaran imej]


Khemah
Pondok sementara (seperti yang didirikan oleh pengakap, pengembara dan lain-lain) yang dibuat dari kain tebal ATAU tempat berteduh yang biasanya dibuat dari kanvas yang disokong oleh tiang dan tali yang diikatkan pada pancang. Dalam bahasa Inggeris bermaksud tent atau camp.

Rujukan: Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP]

Nota: 
Khemah yang didirikan oleh penggiat aktiviti rekreasi di kawasan Gunung Brinchang, Cameron Highlands, Pahang. Perjalanan kayuhan saya di Cameron Highlands boleh dilihat di sini.

17 June 2013

Tokong



[Klik untuk pembesaran imej]


Tokong
Sama erti dengan perkataan rumah berhala, kuil, biara atau pura. Dalam bahasa Inggeris disebut sebagai temple atau shrine.

Rujukan: Dewan Bahasa dan Pustaka [DBP]

Nota:
Rumah ibadat ini bernama Tokong Cheng Hoon Teng. Saya melawat ke sini pada pagi Isnin 25hb Jun 2012 yang lalu sewaktu berkembara basikal solo di Melaka. Ia terletak di Jalan Tokong, yang juga dikenali sebagai Harmony Street. Jalan Tokong, Jalan Tukang Emas dan Jalan Tukang Besi membentuk rangkaian Harmony Street. Ia digelar sebegitu kerana menggambarkan keharmonian antara bangsa utama di Malaysia, dan rumah ibadat pelbagai agama terletak hampir antara satu sama lain. Rumah ibadat yang lain ialah Masjid Kampung Kling dan Kuil Sri Poyyatha Vinayagar Moorthi.

Gambar perjalanan kembara solo saya di Melaka boleh dilihat di sini, sini, sini, sini, sini, sini, sini, sini, dan sini.

10 June 2013

Tangga



[Klik untuk pembesaran imej]

Tangga
Tempat tumpuan kaki yang bertingkat-tingkat untuk naik turun rumah  ATAU  alat untuk tumpuan memanjat (takuk pada pokok, sigai, dan lain-lain) ATAU bahagi­an daripada sesuatu yang bertingkat-tingkat, pering­kat, skala, tingkatan.

Bersinonim dengan sigai: injak-injak, takuk, takik, tokek, tubang, jenjang, tangga gerak dan eskalator.

Stair
A set of steps leading from one floor of a building to another, typically inside the building OR
one of a flight or series of steps for going from one level to another, as in a building OR A series of steps (or flights of steps), connected by landings, that permit passage between two or more levels or floors. 
Synonym with step - rung - tread - degree - stairway - staircase

Sumber:
Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Google, Dictionary.com & Answers.com

03 June 2013

UPM



[Klik untuk pembesaran imej]

UPM
Universiti Putra Malaysia atau dahulu dikenali sebagai Universiti Pertanian Malaysia, telah ditubuhkan pada 29 Oktober 1971, melalui penggabungan antara Fakulti Pertanian Universiti Malaya dan Kolej Pertanian Malaya Serdang. Universiti ini bermula dengan tiga buah fakulti iaitu fakulti Pertanian, Perhutanan, Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan. Ia terus kekal sebagai sebuah universiti tradisional yang memberikan tumpuan terutama kepada pendidikan ijazah pertama, penyelidikan dalam bidang pertanian dan bidang yang berkaitan.

Penubuhan UPM diasaskan oleh gabungan Kolej Pertanian Malaya dengan Fakulti Pertanian, Universiti Malaya. Dr. Mohd Rashdan Baba adalah Naib Canselor yang pertama. Sebelum itu, Dr. Moh Rashdan Baba merupakan Pengetua Kolej Pertanian Malaya dari tahun 1965 hingga 1969. Bermula 23 Julai 1973, UPM telah memulakan sesi akademiknya dengan pengambilan seramai 1,559 pelajar. Pelajar-pelajar tersebut memulakan pengajian di tiga buah fakulti pengasas, iaitu Fakulti Kedoktoran Veterinar dan Sains Penternakan, Fakulti Pertanian dan Fakulti Perhutanan. 

UPM telah mengeluarkan graduan pertamanya pada Majlis Konvokesyen pertamanya pada 30 Julai 1977. Pada awal tahun 1980-an, skop pengajian UPM telah dikembangkan dengan memperkenal bidang sains dan teknologi dalam bidang pengajian yang ditawarkan. Sebagai sebuah universiti yang dinamik dan sensintif kepada tuntutan semasa dan peningkatan pembangunan, UPM menambahkan bidang baru dalam program pengajian sperti sains sosial dan kesenian, teknologi maklumat dan perubatan sebagai persediaan untuk menjadi universiti abad ke-21.

Pada tahun 1994, UPM memulakan satu rancangan yang bercita-cita tinggi untuk membina Universiti Masa Hadapan yang menyediakan sistem-sistem penyampaian yang lebih baik dan terkini dalam pendidikan sains dan teknologi dengan memanfaatkan bidang teknologi maklumat (IT) yang sedang pesat berkembang. UPM telah bertukar dengan pesatnya menjadi kampus tanpa sempadan yang melampaui sempadan kebangsaan.

Kemuncak dari itu, berlakulah penukaran nama Universiti Pertanian Malaysia kepada Universiti Putra Malaysia pada 3 April 1997 oleh YAB Perdana Menteri, Dato' Seri Dr. Mahathir bin Mohamad. la adalah merupakan satu langkah strategik untuk mencerminkan kedudukan UPM sebagai sebuah pusat pengajian tinggi yang berupaya menawarkan pelbagai program pengajian bagi menghadapi alaf baru pembangunan masa hadapan negara.

UPM merupakan salah sebuah daripada 5 universiti di Malaysia yang bertaraf universiti penyelidikan. Lagu rasmi UPM ialah "Putra Gemilang".

Sejarah penubuhan

Penubuhan UPM mula dikesan sejak penubuhan Sekolah Pertanian pada 21 Mei 1931 yang memberi tumpuan dan penekanan kepada bidang pertanian di Tanah Melayu. John Scott, Pegawai Pentadbir Kerajaan negeri-negeri Selat merangkap Pesuruhjaya Tinggi 'Ex-Officio' Negeri-negeri Melayu Bersekutu pada masa itu, merupakan orang yang bertanggungjawab mengasaskan penubuhan Sekolah Pertanian yang berkeluasan 8.8 hektar di kawasan Serdang, Selangor. Sekolah ini bertujuan menyediakan pegawai-pegawai bagi Jabatan Pertanian telah beroperasi selama 10 tahun sehinggalah Sir Edward Gent, Gabenor Malayan Union telah mengisytiharkan bahawa Sekolah Pertanian tersebut dinaik taraf menjadi Kolej Pertanian Malaya pada 23 Jun 1947.

Bermula dengan naik taraf ini, kecermelangan kolej semakin mendapat perhatian sehingga timbul cadangan untuk menaikkan taraf kolej ini menjadi sebuah universiti. Namun, hasrat ini tertangguh berikutan meletusnya darurat pada pertengahan tahun 1948. Pada tahun 1960, Fakulti Pertanian Universiti Malaya telah ditubuhkan dan pada 1 Januari 1962 satu status telah diluluskan untuk menjadikan Majlis Kolej Pertanian Malaya sebagai satu pihak berkuasa Universiti Malaya.

Selaras dengan kepentingan sektor pertanian kepada ekonomi negara, peranan kolej ini adalah sangat penting. Justeru, kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM 7.9 juta bagi melaksanakan pembangunan dalam Rancangan Malaysia Pertama (1966-1970). Peruntukan yang diterima digunakan bagi mempertingkatkan pengambilan pelajar, membina dewan kuliah, meluaskan kawasan bagi perkembangan kolej, menambah makmal sains serta menambah bilangan pegawainya.

Hasrat menubuhkan sebuah universiti pertanian yang menawarkan program pengajian di peringkat ijazah semakin cerah apabila hasrat tersebut diutarakan oleh Tun Abdul Razak Hussein, Timbalan Perdana Menteri semasa merasmikan bangunan tambahan Kolej Pertanian Malaya di Serdang pada 31 Mac 1969. Penubuhan Universiti Pertanian Malaysia ini akhirnya menjadi kenyataan dan telah diaktakan sebagai satu Perintah Perbadanan yang ditandatangani oleh Yang di-Pertuan Agong di bawah Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971, dan disiarkan menerusi Warta Kerajaan P.U. (A) 387 pada 29 Oktober 1971.

Logo

Logo UPM yang ringkas melambangkan tradisi, falsafah dan visi baru universiti.

Asas logo terbina daripada bentuk perisai yang secara tradisinya melambangkan prinsip, kemantapan dan penjagaan martabat ilmu untuk kebahagiaan dan kesejahteraan sejagat.

Bentuk titisan air merupakan simbolik kepada komitmen universiti untuk memelihara alam sekitar. Air juga adalah sebagai asas kehidupan sebagaimana juga ilmu adalah sebagai asas untuk mencapai kemajuan manusia.

Garisan kecil di tengah melambangkan wawasan universiti yang sentiasa ke hadapan. Tiga garisan di kiri dan di kanan ialah simbol dahan yang melambangkan kepentingan pertanian dalam kelangsungan kehidupan dan kemakmuran manusia yang merupakan tumpuan dan kekuatan UPM. Tiga garisan itu juga membawa maksud tiga fungsi utama Universiti iaitu pengajaran, penyelidikan dan perkhidmatan.

Buku yang berada di sebelah atas melambangkan keunggulan Universiti sebagai gapura yang menjunjung, menjana dan meneroka ilmu untuk kebahagian dan kesejahteraan sejagat.

Warna merah melambangkan dinamisme kepada tradisi perjuangan ilmu dan juga semangat perintis, keberanian dan ketahanan menghadapi cabaran. Warna putih melambangkan keikhlasan dan ketelusan. Warna kelabu melambangkan keneutralan, keluwesan dan ketekalan.

Kombinasi warna merah, kelabu dan putih bermaksud keharmonian, kestabilan, keceriaan, kematangan dan dinamisme.

Konsep bentuk perisai ini diperkukuh lagi dengan huruf 'UPM' yang menjadi singkatan kepada Universiti Putra Malaysia.

Sumber rujukan dari Wikipedia

Nota: Perjalanan kayuhan saya ke UPM boleh dilihat di sini.